Hari itu tidak seperti hari biasa. Seawal pagi lagi Emy sudah membuka
komputer. Dia melayari internet, memasukkan email dan kata laluan
ke "laman sosial popular" berwarna "BIRU". Dia sabar dan tersenyum
menantikan laman itu terbuka. Selang beberapa minit dia dibawa ke
muka utama. Ada pesanan menarik untuknya di dinding profil. Dia menang
hadiah cinta!
Emy membuka pautan tersebut. Peluang mendapatkan iPhone 4 sempena
"Hari Kekasih" merupakan peluang yang terlalu rugi untuk dilepaskan.
Dia mahu menjadi peserta terawal hari itu bagi mendapatkannya.
Seraya itu diklik pautan.
Dia dibawa ke laman Google semula entah mengapa. Dalam kebingungan
dia cuba kembali ke "Facebook". Memasukkan email dan kata laluan
pengguna semula. Akaun anda tidak boleh diakses! Dia panik.
Terlalu banyak maklumat penting di dalam laman sosial itu. Beberapa
kali dia cuba mengaksesnya namun gagal seperti ada individu lain
yang sedang menggunakannya. Harapan iPhone 4 melebur. Tanpa
mengetahui hal sebenar, Emy telah tertipu. Tertipu mudah dengan
perangkap cinta dan tawaran dusta. "Hari Kekasih" tidak lagi indah.
Trend serangan dan sebaran "Malware" menerusi laman sosial
popular seperti ini sedang hangat dilakukan penjenayah siber.
Lebih-lebih lagi jika adanya sambutan atau perayaan tertentu,
penjenayah akan mengambil peluang membuat penipuan dan
serangan besar-besaran bagi mencuri identiti dan maklumat
mangsa. Ia dilakukan untuk pelbagai tujuan dan satu yang pasti
adalah untuk "mencuri wang".
Seperti mana bulan Februari, bulan yang sering dikaitkan dengan
"Hari Kekaasih", ramalan tentang serangan Malware sebegini turut
diperkatakan akan menyerang Facebook. Tahun lalu Spam dengan
subjek 'I Love You', 'You And Me', 'Loving You', dan 'In Your Arms'
digunakan untuk memancing minat mangsa melihat kandungan di
dalamnya. Kali ini mungkin berbunyi serupa. Pendek dan manis,
sehingga pengguna merasakan tiada apa yang perlu dikhuatiri.
Ramalan ini dibuat berdasarkan penemuan Spam dan bentuk serangan
Krismas lalu. Sejenis Malware dengan kod nama 'Christmas' hebat
menterang Facebook. Pengguna menerima mesej yang meminta mereka
membuka pautan new-christmas.com . Akibatnya Malware tersebut
tertanam ke komputer tanpa disedari dan mecuri Cookies yang dihantar
ke pangkalan data penjenayah siber.
Menerusi Cookies, penjenayah siber mencuri maklumat akaun "Facebook"
pengguna bagi menyebarkan Spam Malware kepada rakan-rakan mangsa
di senarai kontak pula. Rakan-rakan mangsa akan tertipu menjangkakan
pautan itu dikirim seseorang yang dikenali mereka dan begitulah seterusnya
umpama sebuah putaran ganas yang "tiada penghujung".
Spam menggunakan kuasa cinta, tidak lain daripada helah lama yang
bertopengkan wajah baru. Apabila tiba musim sebelum menjelangnya
"Hari Kekasih", penjenayah siber semakin sibuk melakukan kegiatan
tidak bermoral untuk mengaut keuntungan menerusi perangkap "cinta
dusta digital".
Ribuan kad elektronik dan e-mel Spam juga sudah membanjiri Inbox
pengguna. Spammer hari ini tidak lagi menggunakan cara lama menghantar
Spam dalam jumlah kecil. Spam pukal dihantar untuk menerobos masuk
ke e-mel dengan harapan pengguna akan tertarik dengan salah satu
daripadanya. Sekali terperangkap, komputer akan dijangkiti, maklumat
perbankan akan terdedah serta banyak lagi risiko boleh dihadapi
oleh pengguna.
Mengetahui persekitaran siber dan malware terkini boleh memberi
pengguna gambaran awal tentang serangan yang bakal dihadapi.
Serangan laman sosial adalah sesuatu yang hampir pasti untuk masa
kini. Tidak ada sebab mengapa penjenayah akan berhenti menyerang
laman sosial memandangkan "popularitinya" yang amat nyata.
Seharusnya semakin besar tawaran diterima, semakin curigalah
pengguna. Berhati-hati dengan pesanan cinta di "Facebook" kerana
ramalan menjangkakan serangan menggunakan subjek seperti
'Valentine' akan menerpa. Sekiranya anda menerima pesanan cinta,
periksalah dahulu agar tidak terluka. Terluka kerana perangkap cinta
di "dunia digital".
[FokusSPM,Feb 2011]
Thursday, March 17, 2011
Perangkap CINTA DigitaL
Posted by Cruel Love at 7:59 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment