Dia berlari mendapatkan ombak laut di Mutiara Beach Resort,
Langkawi. Dia tidak menunggu yang lain kerana terlalu teruja
untuk bermain air laut. Sedari tadi air laut seakan memanggilnya,
menunggu saat untuk diteroka. Disentuhnya air itu. Dimasukkan
ke mulut. Meskipun seperti garam tumpah, dia tetap tegar
merasanya. Matanya berkaca gembira. Bibirnya terukir senyum
bangga. Menampakkan baris gigi sedikit jarang kepunyaannya.
Dipijaknya pula pasir laut. Dirasakan teksturnya. Didekatkan
ke hidung, diambil baunya. Dia memanggil rakan-rakan supaya
lebih segera. Ambil gambar dia di laut Malaysia.
Selama 25 tahun, Khuder Bataa hanya melihat tanah dan gunung-
ganang serta bangunan konkrit di tengah kota. Berasal dari
Mongolia, dia dikunci oleh kawasan tanah dan berbukit[landlock]
serta tidak pernah sekali melihat lautan, kecuali di Internet dan
televisyen. Menyertai kursus Kewartawanan Antarabangsa anjuran
Malaysia Press Institude (MPI) memberinya lebih dari pengetahuan.
Dia mendapat pelbagai pengalaman.
Meskipun negaranya mengalami empat musim, dan musim dingin
boleh mencecah sehingga -26C, baginya itu bukanlah sesuatu luar
biasa jika hendak dibandingkan dengan melihat air laut. Merasai
sendiri air yang meliputi 60 peratus peta dunia sebuah cerita
menarik yang boleh dibawa pulang ke negaranya.
Memijak pasir, memegang kulit siput, membiarkan badannya dipukul
ombak, bermain bola di laut. Jika tidak kerana obor-obor yang
merosakkan sedikit harinya, Khuder mungkin akan berada sehari
suntuk di dalam lautan. Gatal di kaki akibat penangan obor-obor pun
tetap menyeronokkan baginya kerana itu juga pengalaman pertama.
Banyak yang pertama kali sepanjang dia berada di negara ini. Pertama
kali keluar negara. Pertama kali menaiki kapal terbang. Pertama kali
berada jauh dari rumah. Pertama kali melihat lautan. Melihatnya
merasai air laut, sedikit pun tidak dipandang janggal oleh peserta lain.
Malah rasa teruja dikongsi bersama. Mungkin kerana masing-masing
juga tahu bagaimana rasanya melakukan perkara baru buat kali
pertama.
Jika orang Malaysia berkunjung ke Mongolia sekalipun, tidak mustahil
akan ada orang-orang kita yang berbaring di atas salji, mengumpul
serta merasai salji menggunakan semua deria yang kita ada.
Sedang orang di sana sibuk mengunci diri di rumah daripada perlu
membenamkan kaki ke timbunan salji setinggi paras pinggang, kita
pula sibuk bermain dan bergambar dalam suhu yang lebih rendah
daripada paras beku. Semua itu kerana ia bukan satu kebiasaan
buat kita. Semua itu adalah pengalaman baru.
Maka tidak ada peliknya jika kita melihat ada orang merasai air laut.
Ada orang yang berbasikal di tengah panas kota. Ada yang membeli-
belah barangan yang tidak pernah kita hiraukan sebelum ini. Kerana
mungkin, itu semua adalah sesuatu yang baru atau pertama kali buat
mereka.
Kata orang, pengalaman pertama adalah sesuatu yang sukar dilupakan.
Baik atau buruk, kedua-duanya penting dalam perjalanan hidup
seseorang. Ia akan selalu diingati, akan selalu ada di kotak fikiran.
Oleh kerana itu, jika berpeluang menimba pengalaman baru jangan
dilepaskan. Ia umpama melepaskan satu siri berguna dalam kehidupan.
Seperti Khuder datang ke Malaysia sebagai peserta kursus. Khuder pulang
ke negaranya sebagai pakar. Khuder kini tahu bahawa "air laut itu masin".
~nukilan : Ani Nadila Yusof : ~
[Skrip Kehidupan_FokusSpm, Feb 2011]
Thursday, March 17, 2011
Air Laut Itu Masin...???
Posted by Cruel Love at 11:29 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment